Penggunaan Tayar Celup Selamat

Penggunaan tayar celup bukan penyumbang utama kepada risiko kemalangan, malah ia selamat digunakan oleh bas dan lori, jika ia dikendalikan dengan cara yang betul di jalan raya khususnya lebuh raya di negara ini.

Penggunaan Tayar Celup Selamat
Penggunaan Tayar Celup Selamat

Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) Lembaga Getah Malaysia, Dr Zairossani Mohd Nor berkata, tayar celup berfungsi seperti tayar baharu, dan semua tayar yang terlibat dalam sesuatu kemalangan adalah berpunca daripada kurang tekanan angin dan melebihi had laju yang ditetapkan.

“Tayar yang selalu diselenggara, sama ada baharu atau tayar celup tidak menyebabkan kemalangan. Pengguna perlu mengetahui kesesuaian tayar seperti saiz, penandaan keselamatan, tekanan angin, had ketebalan bunga tayar, jenis bunga dan kaedah pemasangan.

“Sesetengah syarikat komersial menggunakan sistem pemantauan tekanan angin, bagi memudahkan pemandu menyelia tekanan angin secara berterusan. Paling penting pemandu tidak melebihi had laju dan beban muatan yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, tayar celup selamat digunakan di atas jalan raya kerana ia telah diuji menggunakan ujian prestasi yang sama dengan tayar baharu, iaitu ujian daya ketahanan mengikut kualiti MS1394 bagi tayar trak dan ujian kemampuan kelajuan tinggi MS149 untuk tayar kereta.

“Persepsi ini berlaku kerana tidak merujuk kepada maklumat yang betul dan kurangnya pemahaman tentang ciri-ciri teknikal tayar dan proses pembuatan tayar celup serta regulasi dan standard yang berkaitan.

“Ujian fizikal terhadap tayar celup dilakukan memastikan tayar mencapai tahap keselamatan minimum semasa digunakan di atas jalan raya,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat Lembaga Getah Malaysia, di sini, semalam.

Tayar celup & kajian keselamatan


Zairossani berkata, industri tayar celup telah lama berkembang di negara ini dan terdapat lebih 60 syarikat pembuat tayar celup tempatan berdaftar bagi pensijilan MS 224 dengan lebih dua juta tayar celup dihasilkan setiap tahun.

Jelasnya, laporan perangkaan kemalangan jalan raya Malaysia pada 2013 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan, kemalangan jalan raya yang berpunca daripada masalah tayar celup sebanyak 0.03 peratus, iaitu lapan daripada 30,458 kes kemalangan.

“Pembuatan tayar celup perlu diiktiraf oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim), melalui pensijilan Malaysian Standard (MS) 224 bagi Tayar Pneumatik Yang Menjalani Proses Celup Bagi Kenderaan Persendirian dan Kenderaan Komersial.

“Ia perlu menepati spesifikasi UNECE Peraturan 108 bagi Tayar Celup Pneumatik (Kenderaan) dan UNECE Peraturan 109 bagi Tayar Celup Pneumatik (Kenderaan Komersial),” katanya.

Beliau berkata, beberapa kajian yang dijalankan di peringkat antarabangsa dan tempatan mendapati, penanggalan telapak tayar dan kerosakan tayar berlaku pada kadar sama untuk tayar baharu dan tayar celup.

Menurutnya, kajian oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA) di Amerika Syarikat pada 2008 membuktikan, tayar celup bukan penyebab utama cebisan tayar di jalan raya.

“Kajian itu mendapati, kegagalan tayar adalah berpunca daripada halangan bahaya di jalan raya sebanyak 38 peratus, pengendalian dan penyelenggaraan kenderaan (32 peratus), peningkatan haba terlalu tinggi (30 peratus) dan kerosakan semasa proses pembuatan (16 peratus).

“Kajian oleh University of Michigan (2009, J Woodroofe et. al) pula menunjukkan majoriti cebisan tayar yang ada di jalan raya bukan disebabkan kerosakan semasa proses pembuatan tayar berkenaan,” katanya.

Kegunaan domestik


Zairossani berkata, kebanyakan tayar celup yang dihasilkan di Malaysia adalah untuk kegunaan domestik, berbanding untuk eksport ke luar negara.

“Data statistik 2015 menunjukkan import tayar celup Malaysia bernilai RM63 juta, di mana majoriti adalah untuk kegunaan kenderaan luar jalan raya sebanyak 31 peratus, motosikal (18 peratus) dan tayar penerbangan (16 peratus).

“Penggunaan tayar celup ini untuk industri pengangkutan kenderaan komersial seperti lori dan bas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan tayar celup mendapat sambutan menggalakkan oleh pengusaha bas dan lori kerana faktor harga yang lebih rendah iaitu 30 peratus hingga 50 peratus berbanding harga tayar baharu di pasaran.

“Permintaan terhadap tayar celup akan bertambah lima hingga enam peratus setiap tahun. Tayar celup ini dapat mengurangkan kos pemilik lori dan bas. Mereka dapat berjimat sehingga RM500 berbanding tayar baharu berharga RM1,000 bagi sebiji tayar.

“Biasanya tayar celup akan dipasang di bahagian belakang lori atau bas, hanya bahagian depan sahaja dipasang dengan tayar baharu,” katanya.

Mengenal tayar celup


Zairossani berkata, terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti tayar celup, antaranya melalui bungkusan tayar serta label yang dicop di atas permukaan tayar dan ia berbeza mengikut jenama tayar dalam pasaran.

“Mana-mana tayar yang mempunyai rangka tayar yang baik sahaja boleh dicelup dan proses pencelupan itu boleh dilakukan sebanyak tiga hingga empat kali, bergantung kepada keadaan fizikal tayar.

“Pengilang yang memiliki sijil MS 224 sahaja akan meletakkan label itu di atas tayar celup yang dikeluarkan dan selamat digunakan di jalan raya,” katanya.

Menurutnya, tayar yang memiliki ketebalan bunga kurang daripada 3 milimeter (mm) boleh dihantar ke kilang untuk membuat tayar celup.

“Anggaran penggunaan tayar itu antara 15,000 hingga 20,000 kilometer dan tayar celup ini mempunyai jangka hayat sehingga enam bulan penggunaan di atas jalan raya,” katanya.

Industri penerbangan dominasi tayar celup


Sementara itu, beliau berkata, hampir separuh daripada pasaran tayar celup didominasi oleh industri penerbangan di Malaysia, susulan penggunaan tinggi dan pemantauan berkala.

“Berdasarkan data Jabatan Statistik Malaysia bagi 2015, industri kapal terbang mencatatkan sehingga 29 peratus penggunaan tayar celup daripada jumlah eksport Malaysia yang bernilai RM12.43 juta.

“Sektor ini juga merupakan penyumbang ekonomi penting bagi industri barangan getah Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sesuatu kemalangan yang berpunca daripada penggunaan tayar celup yang dihasilkan dalam kilang haram atau tidak mempunyai sijil MS 224 di luar bidang kuasa Lembaga Getah Malaysia.

“Lembaga Getah hanya menjalankan ujian mekanikal (tayar) bagi pensijilan MS 224 yang dikeluarkan oleh pihak Sirim, memberi nasihat berkaitan dengan ujian mekanikal tayar dan menjalankan R&D berkaitan bagi rujukan kepada industri dan pengguna,” katanya.

Manakala penggunaan dan penjualan tayar celup terletak kepada bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“KPDNKK berkuasa memantau atau menyita pengilang haram yang menghasilkan tayar celup tanpa perakuan Sirim. Manakala JPJ pula boleh menghalang penggunaan tayar celup jalan raya,” katanya.

Lembaga Getah mahu perkenal tayar mesra alam


Dalam perkembangan sama, Lembaga Getah Malaysia menyasarkan akhir 2017 untuk mengkomersialkan getah asli termaju iaitu Ekoprena dan Pureprena yang mesra alam dan berprestasi tinggi sebagai tayar baharu.

“Tayar-tayar Ekoprena dan Pureprena sedang diuji pada kenderaan komersial bagi sektor pengangkutan barangan seperti lori dan treler serta pengangkutan awam seperti bas bandaran dan bas ekspres.

“Ia dapat meningkatkan jangka hayat tayar, tambah jarak dan mengurangkan penggunaan bahan api. Kini sedang diuji pada bas Rapid KL milik Prasarana dan Transnasional,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, Peraktoday.com.my